Archive for August 22, 2010
Seputar Masjid
Alhamdulillah, hari ini genap dua belas hari kita menjalani ibadah puasa. Segala macam dugaan telah dirasai sepanjang tempoh itu. Namun apalah sangat dengan dugaan yang terpaksa dilalui oleh saudara kita yang berada di Palestin misalnya atau di mana saja di pelusuk dunia yang serba kekurangan dan hidup dalam ketakutan. Dalam pada itupun masih kedapatan orang kita yang melalaikan tanggungjawab berpuasa ini. Antaranya yang paling ‘ringan’ ialah kalah dengan tuntutan hawa nafsu ketika berbuka mahupun apabila berbelanja membeli juadah berbuka puasa terutama di Bazar Iftar Ramadan. Bayangkan dengan dugaan sekecil itupun kita telah kecundang inikan pula seandainya kita berada di medan peperangan atau berada di padang pasir kontang yang panasnya sampai membakar tubuh.
Betapa puasalah medan untuk kita menilai sejauh mana keinsafan yang sering bermain di bibir. Puasalah yang menyerlahkan kekuatan batiniah kita memerangi kegilaan nafsu yang tidak pernah kenal jemu. Tetapi alangkah ruginya apabila kita berlapar dahaga pada siang hari dengan hasrat untuk mengejar keredhaan Allah SWT namun tumpas di meja makan apabila tiba waktu berbuka puasa. Inilah yang perlu kita renungi bersama.
Kadang-kala kitapun pening juga dibuatnya apabila semangat makan pada bulan puasa ini berlipat ganda. Memanglah secara biologikalnya nafsu makan akan bertambah setelah kita berlapar dahaga dalam satu tempoh yang panjang, namun di mana sifat bersederhana kita yang berlandaskan tuntutan Ilahi? Itu belum disentuh tentang pembaziran yang dilakukan. Aduhai, di manakah nilai puasa kita jika ingin dibandingkan dengan puasa orang-orang tua kita dulu. Mereka juga berpuasa seperti kita berpuasa. Tetapi belum tentu pengisian puasa yang kita laksanakan sebaik dengan apa yang mereka perbuat. Apakah kita perlu menuding jari pada suasana persekitaran atau sebenarnya ia ada kaitan dengan tebal nipisnya iman? Inilah yang perlu kita renungi.
Apapun pada bulan Ramadan kali ini saya cuba untuk berkunjung dari masjid ke masjid terutama untuk bersolat Isyak dan solat sunat tarawih. Setakat ini saya sudah melakukannya di beberapa buah masjid di sekitar Melaka seperti Masjid Saidina Ali, Bukit Katil, Masjid Pangkalan Minyak, Masjid Bukit Baru dan Masjid Saga, Air Pa’ Abas. Tujuannya untuk menikmati suasana yang berbeza antara satu masjid dengan masjid yang lain terutama masjid yang mempunyai iman tua yang mampu mengembalikan nostalgia ketika berada di kampung satu masa dulu. InsyaAllah dengan Ramadan yang berbaki lebih kurang 17 hari ini, entah berapa buah masjid lagi akan saya jejaki selain berjemaah dengan kariah di taman tingggal saya walaupun kami hanya berjemaah di sebuah musolla sementara berupa sebuah rumah taman yang belum berpenghuni.

Komen