Archive for August, 2009

Saat Indah Bersama

Hari ini sedikit sayu kerana dua daripada anakanda masing-masing kembali ke perantauan untuk meneruskan misi memburu ilmu, yang sulung di UiTM Segamat sementara yang kedua ke Maahad Ehya Al Syariff, Gunung Semanggol.

Sementara mereka bercuti sempatlah berbuka puasa dan bersahur bersama. Betapa indahnya dapat menikmati makan seisi keluarga, walau hanya nasi dengan sambal tumis ikan dan sayur bayam, namun kemesraan dapat duduk semeja itulah ‘penyedap’ yang bagi saya amat berharga.

Betapa begitulah perasaan orang tua kita yang saban waktu merindui saat dan ketika dapat menikmati juadah bersama anak dan cucu, lebih-lebih lagi apabila tiba hari raya. Pada hari yang mulia ini semoga tidak ada ibu bapa yang berasa sayu di hati. Pulanglah aduhai anak-anak. Raikan mereka sementara masih ada kesempatan bersama.

Semoga dapat berkumpul semula menjelang Aidil Fitri nanti dan berduyun-duyun pulang ke kampung. Apapun kita hanya merancang, Allah jua yang menentukan.

August 31, 2009 at 11:41 am Leave a comment

Dirgahayu Negaraku

bendera malaysiaHari ini genap 52 tahun usia kemerdekaan negara tercinta. Di tengah pelbagai insiden yang melanda, ulang tahun kali ini di sambut dengan penuh simbolik namun mencipta manifestasi yang gah- 1Malaysia.

Pagi tadi sempat hadir di MITC untuk sama-sama ribuan rakyat Melaka mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan sorakan Merdek! Merdeka!Merdeka!

Berbetulan dengan kehadiran Ramadhan, semoga detik ulangtahun kemerdekaan ini menginsafkan kita yang semakin diuji dengan pelbagai bentuk cabaran.

TERIMA KASIH KEPADA ANDA YANG MENGIBARKAN JALUR GEMILANG DENGAN MEGAHNYA.

August 31, 2009 at 11:16 am Leave a comment

Citra Ramadhan

Aduhai, setelah tujuh hari berpuasa baru sempat buat posting. Apapun salam Ramadhan kepada yang sempat singgah di halaman ini.

Tahun ini saya ‘memegang’ puasa di sisi ayah & bonda mentua di Bagan Datoh. Dapatlah dua hari berbuka puasa dengan mereka. Saya dapat merasakan bagaimana tersentuhnya hati orang tua apabila dikunjungi anak-anak dan cucu-cucu. Apapun saya akan lakukan apa yang terdaya kerana hambatan tugas tidak memungkinkan saya kerap pulang ke pangkuan terutama pada hari menjelang hari raya. Semoga semua memahami terutama keluarga tercinta.

Awal Ramadhan, selain dengan dugaan dan ujian sebagai hamba yang kerdil, pelbagai perkembangan di sekeliling turut menggamit diri untuk bermuhasabah. Justeru lihatlah sesuatu itu bukan dengan seimbas pandang tetapi selamilah hingga ke lapisan yang mampu membangkitklan keinsafan sebagai hamba yang terlalu banyak dosa.

Beberapa hari sebelum puasa si bongsu yang baru berusia lima bulan demam. Tanpa berlengah bawa ke klinik. Alhamdulillah tiada apa yang perlu dirisaukan. selang beberapa hari anak yang sedang menuntut di UiTM Segamat mengadu demam dan diberi cuti sakit dua hari. Hati terus berdebar lebih-lebih lagi ekoran terdapat dua kematian yang dikaitkan dengan selesema babi H1N1 di situ. Sebaik tiba ke rumah, terus dapatkan rawatan susulan. Alhamdulillah, hanyab demam biasa.

Minggu pertama puasa juga menyaksikan beberapa peristiwa dan insiden. Pilihanraya Kecil DUN Permatang Pasir, kes yang membabitkan Kartika Sari Dewi, Dato Chua Soi Lek(orang nombor dua MCA) dipecat dan pulangnya ke rahmatullah Senator Prof Dr. Ismail Salleh.

Yang lebih mengejutkan ialah apabila menerima beberapa sms yang diterima awal pagi ini mengatakan Dato Ismail Kamus , seorang tokoh agama tersohor pula menyahut panggilan Ilahi. Sejenak berlegar di fikiran, jika semalam Malaysia kita baru kehilangan tokoh cendiakawan dari golongan OKU hari ini pula kita kehilangan sebutir permata berupa seorang ilmuwan agama yang disegani. Tetapi sejurus kemudian saya mendapat satu lagi sms mengatakan bahawa berita itu kemungkinan tidak benar. Untuk mendapat kepastian saya terus hubungi beberapa kerabat di KL. Lantas mendapat jawapan mengatakan berita yang diterima adalah palsu. Dato Ismail Kamus khabarnya kini berada di Makkah. MasyaAllah. Saya mengagak bahawa orang-orang tertentu telah tersalah maklum tentang kematian yang menimpa Dato Ismail Salleh yang dianggap sebagai Dato Ismail Kamus. Rupa-rupanya berita ini telah tersebar luas sehinggakan saya dimaklumkan bahawa malam tadi ada pihak surau tertentu yang mengumumkan tentang perkara tesebut di mana para jemaah diminta untuk bersedekah Al Fatihah kepada ‘Allahyarham’.

Jika tidak salah ingatan saya insiden yang ‘menimpa’ Dato Ismail Kamus ini pernah berlaku sekitar tahun 90-an di mana pada waktu itu berita beliau kembali ke rahmatullah telah tersebar.

Ketepikan ideologi politik, doa dan harapan kita semoga Dato Ismail Kamus beroleh kesihatan dan terus mampu untuk berdakwah.

August 28, 2009 at 10:36 am Leave a comment

Saka

Itulah tajuk Seminar Perubatan Islam Siri 2 anjuran Lembaga Surau Radio Malaysia Melakafm yang berlangsung Sabtu lalu, 15 Ogos 2009 di bawah bimbingan Ustaz Sharhan Shafie At Tobibi.

Saka adalah tajuk pilihan memandangkan ia boleh dianggap menular secara senyap dalam diri kita. Sungguhpun ada kalanya ia begitu ketara seperti seseorang itu memiliki kelebihan-kelebihan tertentu yang pada umumnya  menyimpang dari hukum syarak dan dikhuatiri boleh merosakkan akidah memandangkan saka selalunya ada kaitan dengan unsur dan pengaruh jin dan syaitan.

Masa yang diperuntukkan seperti tidak memadai kerana banyak yang ingin disampaikan oleh Ustaz Sharhan. Pada sebelah petangnya diadakan Klinik Rawatan bagi mereka yang ingin membuat ‘scanning’ samada mereka dipengaruhi oleh saka atau tidak. Dalam sebilangan mereka yang melakukan rawatan, terdapat dua daripada mereka mempunyai pengaruh saka yang serius dan perlu rawatan lanjut.

Demikianlah suasana hidup akhir zaman ini. Ada penyakit fizikal yang boleh diubati melalui rawatan moden namun kedapatan juga penyakit  tersembunyi atau bersifat rohani yang hanya  boleh diatasi dengan ruqyah berlandaskan ayat-ayat suci Al Quran.

InsyaAllah jika ada kesempatan, siri ke-3 akan menyusul. Ini merupakan usaha fardhu kifayah yang dilakukan oleh Lembaga Surau yang boleh juga dikaitkan dengan kerja dakwah bagi memberi kefahaman kepada masyarakat muslim khasnya agar terhindar daripada gejala gangguan  jin dan syaitan serta memberi kesedaran tentang kaedah yang diharuskan syarak dalam rawatan berlandaskan ayat-ayat suci Al Quran.

August 17, 2009 at 5:50 pm Leave a comment

Tercari Yang Dulu-Dulu

Semalam dalam kolum Siti Jarum disentuh tentang gaya persembahan penyiar atau juruhebah dulu dengan gaya penampilan dj hari ini. Dikatakan bahawa kalangan penyiar dulu gaya persembahan mereka tidak menjerit dan cukup bersahaja berbanding penyiar hari ini yang melontarkan suara secara meninggi, walaupun tidak semua bak kata Siti Jarum lagi. Entahlah apakah itu gara-gara hambatan  trend dan ‘kegilaan’ masa kini atau lantaran keseronokan penyiar generasi hari ini dan menyangkakan itulah yang terbaik demi memburu populariti.

Apapun terima kasihlah kepada golongan pendengar radio hari ini yang masih tercari-cari dan senang dengan gaya penyampaian penyiar-penyiar dulu terutama dari kalangan penyiar radio RTM.

Betapa bak kata Tan Seri S. M. Salim..Dulu Lain Sekarang Lain. Oh ya, apa khabar agaknya Tan Seri yang khabarnya uzur sejak kebelakangan ini.

August 17, 2009 at 3:09 pm Leave a comment

Masa Dulu-Dulu

Jika dibuat bancian saya percaya sejumlah besar kanak-kanak yang meningkat dewasa hari ini pernah mengikuti program kanak-kanak yang popular sekitar tahun 70-an hingga 90-an terbitan radio RTM-Permintaan Apa Itu kelolaan Kak Yong & Busu Noramin. Saya tidak berhajat untuk bercerita lanjut tentang program pilihan kanak-kanak ini kerana ia boleh dibaca di sini.

Cuma apabila terbaca tentang rakan-rakan lama di Radio 1 dulu, kenangan manis kembali bermain di kotak fikiran. Betapa suasana indah itu tiada duanya. Seronok bekerja dulu payah nak diulang masa kini. Mungkin faktor usia. Mungkin juga faktor peranan dan tanggungjawab. Dan sesekali terfikir jua, betapa ‘bertuah’nya saya kerana tidak sempat bersama menjadi keluarga radio ketika nama-nama seperti Noramin, Zainal Abas, Hasbulah Awang, Amran Shariff(sekadar menyebut beberapa nama) masih bermain di bibir peminat. Jika tidak siapalah si Zazmie yang kerdil di kalangan pendengar ketika itu. Saya cuma berpeluang ‘mendampingi’ mereka ketika menjadi peminat setia Radio Malaysia. Dan semasa saya mula menjejakkan kaki ke dunia penyiaran pun , sebahagian besar daripada mereka sudah tidak lagi berada di Bahagian Persembahan(sebelum dikenali sebagai Rangkaian Nasional dan kemudian Radio 1) atau sudah bertukar ke unit lain.

Namun dengan Kak Yong Tengku Mariam saya sempat bekerja sama. Percayalah berbicara dengannya seolah-olah berbicara dengan gadis belasan tahun. Kak Yong adalah di antara nama yang pernah menjadi ikon Radio RTM. Betapa ‘kanak-kanak’ yang dewasa dengan program Permintaan Apa Itu kelolaan Kak Yong dan Busu Noramin adalah Zazmie Mohd. Zain.

August 17, 2009 at 2:56 pm 2 comments

Older Posts


Recent Posts

Kalendar 2009

August 2009
M T W T F S S
« Jul   Sep »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31  

Pelawatku

Tags


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.