Archive for July, 2009

Masjid Negara Sekitar 80-an

Semalam dikejutkan dengan kembalinya ke rahmatullah Bekas Imam Besar Negara, Datuk Ahmad. Shahrir Daud. Terkenangkan Allahyarham, saya kembali memutar reel kenangan ketika sering mengunjungi Masjid Negara di sekitar 80-an.

Ketika itu Masjid Negara tidak seperti yang dilihat sekarang ini. Jika dahulu di sekeliling halaman Masjid Negara terdapat pohon-pohon rhu yang menghijau. Ada sebuah kantin di perkarangan pintu masuk di mana saya akan menikmati nasi beriyani setiap selepas solat Jumaat.

Di tepi kolam yang terdapat di bahagian atas selalunya akan duduk mantan PM, Tun Mahatihir Mohd setiap  hari jumaat. Selalunya Tun akan datang sebaik sebelum azan dilaungkan.

Dahulu selain di dalam dewan solat, sebuah lagi dewan yang berhadapan dengan Pusat Islam sering diadakan kuliah. Selalunya di kedua-dua dewan itulah saya sering meluangkan masa untuk mengutip ilmu agama yang disampaikan antaranya oleh Allahyarham Datuk Shahrir, Dato Taib Azzamuddin, Ustaz Halim, Ustaz Alwi Jusoh dan Ustaz Abu Bakar Idris.

Allahyarham Dato Shahir selalunya membuka kuliah tafsir. Satu yang masih saya ingat tentang sikap Allahyarham Dato ialah beliau bagi saya seorang yang tegas. Jarang senyum namun sesekali terbit juga bicara jenaka dalam penerangannya yang menarik dan mudah difahami. Dalam soal ‘disiplin’ di dalam rumah Allah yang saya masih ingat ialah Allahyarham cukup ‘pantang’ melihat jemaah yang tidak hormat pada guru yang mengajar. Yang jelas ialah sesiapa yang duduk dengan ‘memeluk lutut ke dada’ akan ditegur secara ‘live’ oleh Allahyarham sehingga pernah ke tahap menyarankan mereka yang tidak dapat mematuhi disiplin itu agar meninggalkan majlis. Selalunya yang terkena teguran adalah mereka yang tidak biasa menghadiri kelas beliau sedangkan kami yang ‘otai’ sentiasa berjaga-jaga.

Selain itu Allahyarham juga cukup ‘marah’ dengan kanak yang berlari-lari di luar dewan tanpa kawalan ibu bapa sehingga mengganggu suasana. Bagi saya itulah disiplin yang cuba diterapkan oleh Allahyarham kepada generasi yang mengunjungi masjid agar ia akan terbawa ke dalam kehidupan harian. Saya sendiri hingga ke hari ini memang ‘tidak sampai hati’ untuk duduk dengan cara yang tidak digemari oleh Allahyarham hasil dari tarbiah yang saya peroleh dari mutiara didikan Allahyarham ketika itu.

Sedikit lagi kenangan ketika mengikuti kuliah Allahyarham Dato ialah semasa beliau datang mengajar di Masjid Al Khadijiah, Pantai Dalam. Juga kelas tafsir. Dalam jemaah yang setia mengikuti kuliah Allahyarham ialah seorang yang bernama Hakim. Yang menarik tentang ‘Pak Hakim’ ini ialah sikap lurus bendulnya yang sering mengajukan soalan setiap kali selepas kuliah berakhir. Dan saya masih ingat di mana Allahyarham Dato sering ‘memprovok’ Pak Hakim untuk bertanya soalan yang kadang -kala pada mata kasar soalan ang diajukan remeh tapi Allahyarham Dato akan menjawab dengan sempurna dan penuh berhemah. Apabila teringatkan peristiwa ini dapat saya kaitkan dengan penerbitan Telaga Biru yang banyak menerbitkan buku  soal jawab yang mungkin remeh tetapi kita malu bertanya.

Berbalik pada kisah Pak Hakim tadi, selalunya sebelum menjawab Allahyarham Dato akan mengusik ‘ si hakim ini selalu bertanyakan soalan yang ‘susah-susah’” membuatkan Pak Hakim akan tersengih dan jemaah lain pula ketawa sedangkan antara soalan Pak Hakim itu banyak yang bersangkutan dengan orang lain yang mungkin ‘malu’ untuk bertanya. Dan yang paling saya kagumi ialah setiap kali kuliah Maghrib, Pak Hakim tidak akan lekang dengan buku nota untuk mencatat mutiara yang lahir dari mulut Allahyarham Dato.

Sejak Allahyarham Dato bersara dan kembali ke Kelantan, saya tidak lagi berkesempatan mengikuti kelas dan bersolat di belakang Allahyarham yang ketika membaca Al Fatihah bagi saya cukup  menusuk di kalbu.

Semoga roh Allahyarham di tempatkan di kalangan roh para solihin serta dirahmati Allah SWT jua. Dan ketika menulis posting ini terbayang suatu ketika dahulu Allahyarham akan bergerak dari satu masjid ke satu masjid menaiki Ford Cortina kesayanganya. Al Fatihah.

July 31, 2009 at 10:45 am Leave a comment

Cerita Pagi

Pagi ini ketika ‘memutar pantau’(istilah peribadi) stesen-stesen radio, perhatian tertumpu sejenak ke 105.7 Litefm bersama PK dan Sara. Pagi ini mereka memperkatakan topik ‘adakah benar wanita tidak begitu mahir mengendalikan kereta selain memandu?’

Kebetulan pula pagi ini ketika bergerak ke pejabat saya dapati seorang jiran sedang berhadapan dengan karenah kereta apabila alarmnya berdesing memecah kesunyian pagi. Dari jauh saya lihat tuan punyanya (sepasang suami isteri) terpinga-pinga kerana kemungkinan telah tenggelam punca.

Bagaimanapun saya rasa terkilan kerena tidak berhenti, walaupun bukan untuk menyelesaikan masalah kerana saya pun bukan begitu ‘fasih’ dengan hal ehwal mekanikal kereta  namun setidak-tidaknya berhenti untuk bertanya khabar dan memberi pendapat(tanpa kos apa-apapun).

Menerusi Litefm pagi ini PK & Sara banyak menerima respon daripada pendengar yang ingin berkongsi pendapat dan pengalaman menerusi pelbagai sudut pandangan samaada yang menelefon itu  lelaki atau wanita.

Begitulahlah peranan radio yang terasa dekat di hati apatah lagi apabila topik yang dibicarakan menyangkuti kehidupan kita sehari-hari.

Semoga masalah jiran saya tadi dapat diselesaikan dengan bantuan insan mulia (begitulah selalunya doa/bisik hati sekiranya saya sendiri tidak dapat menghulurkan bantuan) memandangkan rasa bersalah kerana tidak mengambil kesempatan untuk berhenti tadi. Ini kerana sekiranya saya sendiri berhadapan dengan perkara yang sama belum tentu saya mempu mengatasinya dengan tenang.

July 31, 2009 at 9:16 am Leave a comment

Ada Apa Hari Ni?

Aduhai, kenapa akhir-akhir  ini malasnya nak menarikan jemari di atas papan kekunci? Disiplin. Disiplin.

Hari ini dikunjungi oleh seorang warga kerja baharu di Radio Malaysia Melakafm, Nuraian Azmi yang baru memulakan tugas sebagai wartawan penyiaran hari ini.

Sempatlah memberi sepatah dua kata perangsang untuknya yang hadir dengan penuh harapan untuk ‘menumpahkan’ apa yang dikutip selama ini di menara gading.

“Get used to the environment, get to know each other, be respectfull, do your best, show the best dan love your job” itu yang sempat saya nukilkan pada beliau.

“Bagi saya ganjaran berkerja yang paling utama adalah kepuasan” saya terus menyuntik dan memahat obor semangat pada beliau. Segalanya diterima dengan senyuman dan satu anggukan.

Nurain, semoga berjaya.

July 30, 2009 at 12:01 pm Leave a comment

Takziah Buat Azizul Khamis

Jumaat lalu dikejutkan dengan kembalinya ke rahmatullah Khairel Khamis, penyanyi dan juga abang kepada Azizul Khamis. Berbanding Azizul, saya tidak mengenali Allahyarham Khairel secara peribadi. Sedangkan Azizul yang saya gelar Yob pernah rapat terutama ketika saya mengendalikan Pujaan 10 Nescafe.

Apa yang ingin dikongsi di sini ialah tentang ‘karya’ Allahyarham Khairel lewat lagu terbaharunya dari album kompilasi Anugerah. Saya cukup tertarik dengan lagu nyanyian Allahyarham bertajuk Permata Cahaya(jika tidak silap saya). Lagu itu sebenarnya akan saya putar ‘back to back’ ketika dalam kenderaan sehingga anak saya yang berusia lapan tahun juga telah hampir menghafal liriknya. Ia sebenarnya menjadi ‘kegilaan’ saya sejak memperoleh ceedeenya awal tahun ini. Liriknya menarik, sayang saya telah kehilangan sampul yang memuatkan keterangan tentang komposer dan penulis lirik lagu berkenaan. 

Saya dari sehari ke sehari berhasrat untuk meminta rakan-rakan deejay menyiarkannya terutama ketika lewat senja namun tidak kesempaian sehinggalah berita kematian Allahyarham Khairel diterima awal pagi Jumaat lalu. Lagu itu tidak begitu mendapat airplay tetapi jika berkesempatan dengarlah dan nikmatilah lirik yang bagi saya ada ‘halatuju’ serta kualiti suara yang berada pada ‘kelas’ tersendiri. Dan jangan lupa sedekahkan al fatehah kepada roh Allahyarham.

Kasih sayang sesama kita                                                                                        Dendam benci usah diketara

Rindu cinta resamnya manusia                                                                               Tangis tawa perasaan kita                                                                                                                                              Cahaya permata  bersinar                                                                                             Bisa membahagiakan hidup kita                                                                                        Cahaya permata bersinar                                                                                             Bisa jua menyakit memedihkan kita seadanya

Doa syukur pada maha esa                                                                                                   Reda hidup engkau permata hatiku

Dugaan demi dugaan tetap aku terima   jua                                                                 Akan kujalani lebih hidup sempurna

Permata engkau permata menyinar hidup lebih bermakna                     Begitu seandainya akan ku terima

July 20, 2009 at 3:07 pm Leave a comment

Rejang Oh Rejang

Baru Selasa lepas saya menulis tentang ‘kunjungan budaya’ ke Kampung Rim, Jasin untuk menjejaki puisi tradisional Rejang dengan menemui pengamal-pengamalnya yang sudah lanjut umur.

Betapa hari ini dalam Utusan Malaysia ada cerita mengenai Rejang. Klik sini. Saya juga jika tiada aral akan cuba mendalami gaya ‘melagukan’ rejang ini. Ia menarik sebenarnya.

July 17, 2009 at 5:34 pm Leave a comment

Rejang

Ini kisah Rejang tetapi bukan tentang Sungai Rejang di Sarawak. Ia berkaitan dengan satu cabang kesenian Melayu yang hampir pupus. Ia sebenarnya dalam kategori ‘dendang’ yang berunsurkan nasihat dan puji-pujian kepada Allah SWT.

Tadi bersama TIM Ronda-Ronda Melakafm,  saya sempat berkunjung ke Kampung RIM dalam daerah Jasin untuk bertemu mantan Tok Demang Mohd bin Chim dan iparnya Pak Ramli Salim atau lebih dikenali dengan gelaran Demak.

Kunjungan yang cukup berharga kerana mengikut pengakuan mereka, hanya mereka sahaja yang masih mewarisi kemahiran untuk mendendangkan rejang yang diwarisi turun temurun sejak 1836 lagi. Malah jelas terbayang kesayuan di wajah mereka apabila ditanya samada  ada atau tidak generasi pelapis yang berminat untuk meneruskan tradisi ini. Jawapan yang berbaur kesal kerana menurut mereka belum ada nampak yang berminat waima anak-anak merek sendiri sedangkan ironinya usia mereka sudah lanjut dan uzur pula.

Apapun saya secara spontan telah memohon keizinan daripada mereka berdua untuk cuba ‘membawa’ rejang ini. Dan mereka dengan hati terbuka telah ‘mengijazahkan’ kebenaran itu kepada saya. InsyaAllah saya akan lakukan semampu mungkin untuk menghidupkan tradisi rejang ini.

July 14, 2009 at 5:49 pm Leave a comment

Older Posts


Recent Posts

Kalendar 2009

July 2009
M T W T F S S
« Jun   Aug »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

Pelawatku

Tags


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.