Archive for June, 2009
Perkongsian Ilmu
Semalam sekali lagi berkesempatan berkongsi ilmu dan pengalaman dengan 30 staf baharu Pusat Berita Radio dan Salam Radio(JAKIM), di Institut Penyiaran & Penerangan Tun Abdul Razak(IPPTAR) Seperti biasa saya diamanahkan mengendalikan slot penyampaian berita.
Masa sehari yang diperuntukkan terasa cepat berlalu lebih-lebih lagi apabila para peserta menunjukkan minat untuk mencambah pengetahuan sebagai ‘budak baru belajar’.
Saya tidak mengharapkan mereka akan mampu untuk menggarap segala yang diluahkan dengan serta merta. Malah beberapa kali saya nyatakan bahawa mereka perlukan masa. Tetapi mereka juga perlu berusaha gigih dan mengatasi segalanya ialah minat dan cita-cita.
Tidak dinafikan ada di antara peserta yang memiliki bakat semulajadi yang terserlah dan jika dibimbing tidak mustahi mereka juga mampu pergi jauh.
Apapun saya tegaskan bahawa tiada jalan mudah untuk berjaya dan kalau sudah berjaya jangan lupakan kawan Pimpin mereka sekali untuk sama-sama menempah kejayaan.
Selamat berjaya adik-adikku. Apa yang kalian lalui hari ini telah kualami 28 tahun lalu. Dan 28 tahun bukan tempoh yang singkat kawan!
Perginya Dua Selebriti
Takdir telah menentukan bahawa seorang penghibur bernama Micahel Jackson (gambar)diambil nyawanya ketika hidupnya tidak lagi mencorakkan kehebatan seperti yang pernah dilalui sebelum ini. Dia juga sedang dalam rencana ingin mengadakan konsert di UK dengan hasrat untuk memulihkan kembali krisis kewangan yang melanda hidupnya.
Mengikut Berita Dunia Michael meninggal akibat serangan jantung.
Saya boleh dikatakan membesar dengan lagu-lagu Micahel Jackson atau Jacko yang pada peringkat awalnya beraksi bersama empat lagi saudara lelakinya menerusi kumpulan yang dikenali sebagai Jakson Five. Lagu-lagu seperti Ben dan I’ll Be There begitu terkesan di hati. Waktu itu sekitar tahun 70-an, Jacko merupakan seorang budak hitam yang berambut afro dan berhidung pesek.
Namun imejnya kian hari kian berubah sehingga saya sendiri secara peribadi tidak sanggup merenung wajah mutakhir Jacko lama-lama lantaran raut wajah yang ‘menyeramkan’. Bagi saya Jacko memiliki kecelaruan yang ekstrem sehingga sanggup mengubah imej daipada seorang budak berkulit hitam kepada lelaki yang berimej cerah.
Kehidupannya juga seringkali dilanda kontroversi malah turut dibabitkan dengan skandal. Saya tidak dapat bayangkan andai ditakdir Jacko untuk terus menongkat langit, apakah corak kehidupan yang bakal dilalui?
Seorang lagi selebriti Hollywood yang diambil nyawanya adalah Farrrah Fawcett yang meninggal dunia akibat komplikasi Kanser. Farrah atau Jill Munroe dalam siri kegilaan ramai termasuk saya sekitar tahun-tahun 70-an, Charlie Angels tampil dengan imej yang menggoda dan menjadi siri tv mesti tonton saya ketika itu.
Beliau pada satu ketika mendirikan rumahtanga dengan Lee ‘six million dollar man’ Majors tetapi istana mereka tidak kekal lama.
Itulah kisah yang melanda dunia hiburan Hollywood yang turut menempias ke negara kita dan saya sekadar menulis untuk mengimbas kembali kenangan masa lalu. Tidak lebih daripada itu.
Tentang Pujaan 10 Nescafe
Duduk-duduk sambil jemari menari di atas papan kekunci memetik Pujaan 10 Nescafe, bertemu beberapa bahan tulisan yang menyentuh tentang PJSN untuk tatapan bersama:
1. Azian
2.Vanidah
3. Raja Azura
4. Leon
5. eblog
Ada Betulnya
Ketika pengkiritik atau juri meluahkan komen menggunakan jargon muzik, si penerima kritikan sekadar mengangguk, tersipu malu, senyum dan tidak kurang yang kelihatan terpinga-pinga. Itulah gambaran program realiti pencarian bakat baru khususnya dalam bidang nyanyian tempat di mana pengkritik profesional ‘membelasah’ budak hingusan yang terlampau ghairah untuk bergelar artis sehingga sanggup disembelih dan ‘dimalukan’ di hadapan khalayak. Soalnya apakah mereka benar-benar faham tentang apa yang dikritik itu?
Senario ini membuatkan Datuk Ibrahim Bachik terpanggil untuk menganjurkan kelas vokal atau seni suara bagi memberi pendedahan kaedah yang betul melontarkan suara. Saya percaya Datuk Ibrahim ikhlas dan tidak mahu senario ‘membodohkan’ itu berpanjangan lebih-lebih lagi yang terlibat kebanyakkannya anak Melayu kita.
Saya mengenali Datuk Ibrahim seawal tahun 1981 apabila menjadi anggota keluarga besar RTM. Saya sendiri secara tidak langsung pernah belajar asas muzik daripada beliau seperti membaca nota . Pernah mendapat asuhan bermain kompng dan angklung daripada beliau. Sayangnya saya tidak sempat serius dalam bidang tersebut. Tetapi yang cukup membanggakan saya ialah Datuk tidak ketinggalan mengikuti perkembangan saya khususnya apabila saya turut mencipta lagu seperti Megah Di Angkasa dan Kita Penyiar. Malah setiap kali ada kesempatan bersua muka dengan beliau saya tidak melepaskan peluang untuk bertanya itu ini tentang muzik terutama kaedah mencipta lagu puisi yang saya percaya umum mengetahui beliau adalah pelopor genre lagu tersebut. Ada di antara petua atau tunjuk ajarnya saya praktikkan hingga kini.
Semoga usaha Datuk ini berhasil. Saya sendiri jika berkesempatan ingin turut serta namun apakan daya kini terdampar di Melaka. Seruan saya agar bakat-bakat baru atau meeka yang ingin mengenali muzik tidak melepaskan peluang ini. Apa sangat RM30.00 jika nak dibandingkan dengan nilai ilmu yang bakal diperoleh.
Syabas Datuk/sifu. Rangkap pertama Alam Tanah Air ciptaan Datuk berdasarkan puisi karya seniman negara Datuk Usman Awang sering bermain di bibir saya.
Cerita Tentang Sembang Kopi Di Laman Seni
Membelek akhbar Utusan Malsyaia Rabu lalu terpampang berita tentang Sembang Kopi Di Laman Seni. Versi akhbarnya terpapar foto Kotakasturi membuat persembahan deklamasi tetapi versi maya yang dilink di sini tidak kedapatan foto berkenaan.
Beberapa hari sebelumnya pula menerusi Harian Metro turut diselitkan berita aktiviti baharu di Angkasapuri itu.
Aku Di Hari Bapa
Ahad lepas seperti kebanyakkan bapa-bapa lain saya turut menerima ucapan ‘selamat hari bapa’ daripada anggota famili termasuk anakanda yang sedang menuntut di Gunung Semanggol. Saya menerima ucapan itu dengan berbesar hati dan terharu lantas membalas ‘sebagai cenderamata, berjanjilah untuk istiqamah mendirikan solat dan tilawah Al quran serta hormati ibu bapa dan orang tua, memadailah itu sebagai hadiah sempena hari bapa’
Malamnya pula berkesempatan menonton dokumentari khas Bapaku Wiraku di TV 1 di mana saya turut ‘memimjamkan’ suara untuk satu daripada segmen dalam doku tersebut. Terharu sambil teringat arwah ayahanda yang telah kembali ke rahmatullah 19 tahun lalu di Makkah AlMukarramah.

Komen