Archive for May, 2008

Gambaran Sepanjang Perjalanan

Anak-anak teruja melihat
ayam berlaga


Bergambar kenangan bersama Pok Sin
(4 dari kanan) dan Zaidi(3 dari kanan)

Homestay tempat penginapan selama 2 malam

May 27, 2008 at 4:05 am 2 comments

Meneguk Tuak

Bumi Kelantan ditinggalkan dengan seribu kenangan lebih-lebih lagi kembara percutian kali ini turut disertai ayah dan ibu mertua.
Pagi semalam sebelum berangkat balik ke KL sempat berbual dengan pemilik Homestay, Pok Sin. Berusia 63 tahun dan menjadi nelayan sejak muda lagi. Punya lima anak dan beberapa orang cucu. Ada di antara anaknya kini turut mewarisi beliau hidup sebagai nelayan.
Pemilihan tanah beliau untuk dijadikan tapak homestay merupakan suatu keberuntungan. Setidak-tidaknya boleh dijadikan tempat tinggal.
Pagi itu Pok Sin baru balik dari laut. Beliau hanya mampu membawa balik kira-kira 30 kil0gram ikan kerapu yang menghasilkan pulangan sekitar RM200.00. Namun ada kalanya pulang dengan tangan kosong.
Menurut Pok Sin lagi ada juga antara penduduk kampung yang memperoleh pinjaman untuk membina rumah ‘batu’ dengan melunaskan pinjaman sebanyak RM100.00 sebulan. Cuma tambah Pok Sin lagi beliau tidak berminat untuk berbuat demikian kerana ia melibatkan soal kepartian.
Pagi itu sempat juga menemankan anak-anak, Zafir dan Zafirah bermain pantai. Fatin, anak sulung Mek Kiah menjadi penunjuk jalan.
Ketika anak-anak leka bermandi, sempat bertanya itu ini pada Fatin.
Terharu juga mendengarkan anak seusia 12 tahun ini masih belum mampu menjawab apakah cita-citanya apabila dewasa kelak atau dia berasa segan untuk menyatakannya. Apapun apabila ditanya apakah dia akan menjejaki ibu dengan mengusahakan cantingan batik, dia hanya mempu tersenyum.
Menurut Fatin lagi ada diantara anak-anak penduduk kampung itu yang tidak bersekolah lantaran kedaifan keluarga.
Sebagai kakak kepada dua adik yang masing-masing berusia 9 dan 6 tahun Fatin kini setidak-tidaknya sudah pandai mengurus diri termasuk sudah tahu menanak nasi dan menggoreng ikan.
Sebelum meninggalkan KB sejenak ke Pantai Cahaya Bulan(PCB) kerana anak-anak teringin sangat menyampaikan hajat ‘mencelup’ kaki di pantai yang kini dipenuhi batu-batu besar penghalang ombak.
Memandangkan perut sudah berkeroncong, berselera pula melihat gerai-gerai yang dipenuhi dengan jualan hasil laut. Cuma sayang ianya agak terdedah.
Tapi mujurlah sebelum dihidangkan, ia digoreng semula. Enak juga menikmati’colek’ makanan laut seperti bebola ikan, ketam dan udang.
Masuk tengahari baru mencari jalan keluar dari bandar KB. Sebenarnya warga bandaraya Islam ini perlu lebih prihatin lagi khususnya tentang menjaga kerbersihan kerana ia merupakan antara ciri-ciri penting dalam kehidupan seorang muslim-buktikan pada masyarakat lain.
Ketika melalui Batu 30 Kampung Pek, Machang, sempat singgah untuk meneguk air nira atau tuak kelapa yang dijaja di pinggir jalan.
Berharga RM2.50 sebungkus, berasa manis-manis masam. Dalam kalangan famili yang turut serta hanya saya seorang yang teruja meneguk tuak di bawah terik matahari.
Sejenak terfikir, kalau ditempat lain jangan sembarangan meneguk tuak, kerana dikhuatiri ia adalah tuak yang boleh memabukkan.
Tetapi tuak yang ini, habis sebungkus, tambah sebungkus lagi…..

May 27, 2008 at 2:43 am Leave a comment

Cantingan Batik Mek Kiah

Petang tadi sempat memborong beberapa hasil batik daripada salah seorang pengusaha batik di sekitar Pantai Cahaya Bulan. Perbezaan harga memang ketara sekiranya membeli terus daripada pengusaha berbanding setelah berada di rak-rak pameran di kedai-kedai. Berbelanja sekitar 600 riyal(ikut penggunaan loghat masyarakat tempatan). Terpikat dengan kemeja batik berlengan panjang berwarna merah jambu untuk dipakai ke pejabat pada hari Khamis.
Siti Hajar Batik-milik pasangan suami isteri(Siti Hajar dan Zakaria) yang telah menjalankan bisnes lebih 20 tahun. Sempat meninjau kilang kepunyaan mereka yang terletak di belakang rumah. Melihat sendiri bagaimana proses pembuatan batik dijalankan.
Melihat pada fizikal rumah yang tersergam indah dan sebuah Mercedes Benz yang anggun , nyatalah perniagaan mereka telah membuahkan hasil yang lumayan. Namun di sebalik kejayaan ini pastinya berdiri mereka yang turut terlibat dalam menghasilkan cantingan batik yang unik dan menarik termasuklah Mek Kiah(tinggal di belakang homestay) yang mengambil upah membuat lakaran batik milik Siti Hajar Batik.
Terharu mendengarkan luahan Mek Kiah yang punya tiga anak serta suami seorang nelayan yang menyatakan beliau sendiri belum mampu untuk memiliki sehelai batik yang berharga ratusan ringgit untuk mmbalut tubuh sedangkan beliaulah yang melakar batik-batik berkenaan.
Salam Pantai Timur disapa angin kesayuan terkenangkan golongan yang sebegitu sedangkan penyewa homestay dari jauh datang bertandang sambil berbelanja seadanya.
Makan malam menikmati nasi kerabu, nasi dagang, nasi minyak dan ayam percik yang dibeli dari Pasar Malam Buluh Kubu.
Dan malam itu Mek Kiah seluarga turut menikmatinya……

May 25, 2008 at 2:26 pm Leave a comment

Salam Pantai Timur

Seperti biasa masa cuti persekolahan diisi dengan aktiviti Kembara Malaysia. Kali ini destinasi adalah Pantai Timur-walaupun ia pernah dilakukan beberapa kali sebelum ini. Ia menjadi pilihan kerana beberapa sebab-menghadiri majlis perkahwinan sepupu isteri dan Aznarina Aziz. Selepas itu melajak ke Kota Baharu(KB).
Setelah menghadiri majlis perkahwinan sepupu isteri di Felda Sungai Tekam Utara, Jengka, Pahang pada Sabtu 24 Mei, perjalanan diteruskan ke Bukit Payong, Marang, Terengganu untuk memenuhi undangan walimahtul urus penyampai berita, Aznarina Aziz.
Memandangkan masa bertolak dari Sungai Tekam Utara sudah agak lewat, kehadiran di rumah Aznarina hanya dapat dipenuhi tatkala azan Maghrib berkumandang. Memanglah tiada tetamu lagi pada waktu itu. Tapi dalam pada itu pun Aznarina sempat menghidangkan masak lemak nangka berlaukkan ikan kering. Puh, berselera dibuatnya. Tapi ikut kata Aznarina sekiranya datang awal dapatlah menikmati masak asam ikan patin.
Kira-kira jam 8.00, saya sekeluarga bersama ayah dan ibu mertua bertolak untuk ke KB. Jam 11.45 baru sampai.
Di KB kami menginap di homestay yang terletak di Kampung Baru, Pantai Mek Mas yang terletak berhampiran PCB, Pantai Cahaya Bulan.
Perjalanan ke sana pada malam gelap gelita mujur dipandu arah oleh saudara Zaidi yang datang membantu. Zaidi adalah orang hubungan ketika menempah homestay berkenaan. Untuk makluman homestay ini diketahui ketika melayari blog rockys bru.
Ia sebenarnya baru diperkenalkan dan masih dalam peringkat awal ‘perniagaan’. Masih banyak kekurangan. Itulah pengakuan Zaidi ketika kami melangkah masuk.
Sebenarnya kami tidak berapa kisah. Sekurang-kurangnya dapat juga merasai suasana hidup keluarga nelayan.
Homestay ini milik Pok Sin. Dua buah kesemuanya. Kami adalah di antara pengunjung awal.
Hah. Anak-anak teruja dengan senario kampung. Kambing bebiri bekeliaran di sekitaran(termasuk dengan najisnya sekali-tapi itulah realiti kehidupan).
Di belakang tempat penginapan, anak Pok Sin mengusahakan cantingan batik yang dilakukan secara cottage industry. Kali pertama mendekati aktiviti realiti-bukan sekadar melihat gambaran semata-mata.
Paginya menikmati sarapan/makan tengahari di Pasar Khadijah. Ah berselera menikmati antaranya sotong dan udang yang bersaiz besar. Jika di KL kena fikir dua tiga kali!
Selepas itu apa lagi destinasi ‘wajib’ ketika berkunjung ke KB-menggali gedung buku Jaafar Rawas di Jalan Tok Pati sementara isteri dan yang lain-lain singgah di kedai emas(macam datin-datinlah pulak).
Sempatlah membeli beberapa tajuk buku kebanyakkannya mengenai gangguan jin dan syaitan-tajuk yang diminati sejak kebelakangan ini setelah mendampingi Ustaz Hanif Ghazali At Tobibi dari Pondok Zubaidiyah, Merbok, Sungai Petani.
Kembali ke homestay lewat tengahari. Boleh tahan juga panasnya. Tapi tak apa, realiti dicari, realiti ditermui. Seronok melihat anak-anak teruja dengan aktiviti kehidupan yang asing walupun sering balik kampung tetapi tidak serupa dengan cabaran sebuah perkampungan nelayan.
Salam Pantai Timur berhenti seketika. Bercadang untuk ke PCB dan malam nanti teringin nak menikmati nasi kerabu.

May 25, 2008 at 7:37 am Leave a comment

Tetap Sama

Aroma mee bandung Pak Su
Entah macamana malam ini tergerak hati pergi makan mee rebus di gerai Pak Su yang terletak di Jalan Kuari Cheras.

Gerai ini pada suatu masa dahulu sering menjadi destinasi ketika tinggal di Kampung Cheras Baharu. Memang enak menu Pak Su ni. Selain mee rebus, ada rojak, mee bandung, mee goreng ala mamak dan nasi goreng.

Yang special kuah mee rebusnya. Entahlah apa rahsia Pak Su dan Mak Su, pasangan yang berasal dari Bukit Mertajam ni.

Walaupun harganya tidaklah seperti dulu tapi citarasanya masih sama. Nak rasa datanglah. Ia terletak berhadapan bulatan di bawah lebuhraya MRR2 menghala ke Jalan Kuari, Cheras.

Sudah hampir 30 tahun Pak Su berniaga mee rebus. Sekarang umurnya 55 tahun. Bayangkan pengalamannya. Mungkinkah kemahirannya akan diwarisi oleh anak-anak? Walaupun ada di antara anak-anaknya yang menuntut di IPT tapi ada juga yang membantu di gerai. Seorang daripada anaknya lepasan agama dari Mesir tapi kini sedang menjalani latihan kerjaya di PNB, sejajar dengan hasrat PM Pak Lah inginkan lulusan agama menceburi bidang profesional.

Apapun anak seorang peniaga mee rebus tidak semestinya menjalani kehidupan yang serupa dengan orang tua mereka.

May 16, 2008 at 2:23 pm Leave a comment

Lawatan DiRaja

SPB Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri
Agong ketika meninggalkan bumi Jordan

Lawatan kerja Raja Abdullah II dan Raja Permaisuri Rania ke Malaysia semalam dan hari ini mengingatkan saya semasa membuat liputan lawatan SPB Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalulail dan SPB Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Tengku Ab. Rashid ke negara bumi anbiya itu pada September 2006.

Bersama kru media berlatarbelakangkan Laut Mati

Seketika terbayang bumi Makkah yang dikunjungi pada tahun 1999 ketika membuat liputan haji. Antara Jordan dan Arab Saudi memang tidak banyak perbezaan keadaan muka buminya.

Phamplet Muzium Kereta DiRaja

Di Amman rombongan di raja dibawa mengunjungi beberapa tempat bersejarah termasuk Muzium Kereta Diraja yang mempamerkan koleksi kereta milik Raja Hussein.


Sedang memilih wangi – wangian di Balad

Rakan-rakan media lain ialah , Fathil Hidayat, Azhar dan Halim(RTM), Rosmah dan Noraini(Bernama) dan Bustam(Jabatan Penerangan),

Semasa di sana berkesempatan juga membeli-belah di Balad…sempat le beli kurma mentah dan rebana.

Antara liputan Lawatan DiRaja yang
dipaparkan
melalui akhbar Jordan Times



May 16, 2008 at 8:39 am Leave a comment

Older Posts


Recent Posts

Kalendar 2009

May 2008
M T W T F S S
« Apr   Jun »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Pelawatku

Tags


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.